Assalamualaikum..semua♥


.....سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ.....


"YA ALLAH,,di hari yang penuh kemuliaan ini, Kau berikanlah rezeki yang melimpah-ruah & penuh keberkatan kepadaku dan suamiku, anak2ku,keluargaku&kel­uarga suamiku, Ya ALLAH,lindungilah kami Ya ALLAH & jauhkanlah kami dari perkara yang mendatangkan keburukan. Berkatilah kehidupan kami YA ALLAH.."...أَمِِيْن يَا رَبَّ العَالَمِينْ..(Selawat)

Followers

Wednesday, 31 July 2013

Rindu Kad Raya!

Bila dekat-dekat nak raya macam ni teringat pulak zaman sekolah dulu. Masa nilah kita pulun beli kad raya, tulis untuk semua kawan-kawan. Kalau yang kreatif tu siap buat sendiri lagi kad raya. Tulis siap-siap senarai nama, takut ada yang tertinggal nanti. Cikgu-cikgu pun nak bagi jugak. Untuk secret admirer pun nak bagi jugak senyap-senyap, selit dalam beg dia ke (saya tak buat...hahaha) Lepas tu mesti tulis :

Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.

Pecah kaca pecah tong,
Sudah baca harap gantung.

Lepas tu sambil pasang langsir baru, kita pun sibuk gak gantung kad-kad raya yang berlambak tu.
Oh rindunya zaman sekolah. Tapi, sekarang ni ada lagi ke yang berbalas-balas kad raya? Asyik dapat kad raya dari Focus Point aje, tak pun dari Sen Heng suruh beli barang. Tunggu juga kot-kot ada dari kawan ke, emm...tak ada pun...

Zaman yang serba canggih ni, orang dah semakin melupakan kad raya. Kebanyakannya memilih SMS dan MMS. Tak pun google gambar ucapan raya lepas tu tag ramai-ramai kat facebook. 

Saya nak cerita sikit pasal satu kad raya ni. Saya tak pasti sama ada orang lain pun ada yang dapat macam ni ke tak. Tapi, kad ni istimewa sangat bagi saya.
 


 Kalau sekali pandang, kad ni nampak biasa aje. Tak ada apa yang special pun. Harga pun murah, tiga ringgit sembilan kupang aje. Tapi, ada cerita di sebalik kad ni. Usia kad ni nak dekat sama dengan usia perkahwinan saya. Hampir 5 tahun. Nampak macam baru kan, mungkin sebab dia duk dalam plastik tu tak pernah bukak pun.

Kad ni diberikan khas oleh suami saya pada hari raya yang pertama sekali kami sambut sebagai pasangan suami isteri.

Suami : Nah kad raya. Tapi, jangan bukak plastik tu tau. Simpan aje elok-elok.
Saya : Hah? Kenapa jangan bukak pulak?
Suami : Iya la, kalau jaga elok-elok boleh guna lama kad ni. Recycle. Nilah kad raya untuk raya-raya yang akan datang jugak.
Saya : Oh romantiknya! Kalau iya pun bukaklah tanda harga tu dulu.

Sungguh, saya tak pernah terfikir pun idea yang macam ni. Mula-mula rasa mengarut gak, tapi lama-lama saya layankan aje lah. Sebab, pasal benda nilah saya boleh tergelak, tersenyum sorang-sorang. InsyaAllah saya akan simpan kad ni elok-elok, untuk tatapan anak cucu nanti kalau masih ada umur yang panjang. Untung-untung nanti leh jadi artifak ke, leh jual kat muzium. Amboi, tingginya cita-cita!

So, macam mana cerita kad raya korang semua? Jom share dengan saya. Nak tau gak. Kot-kot ada cerita yang menarik ke, lagi pelik ke hehehe...


Sunday, 28 July 2013

Biarkan Kenangan Berbunga Di Ranting Usia


09/03/10...dan kenangan...

...Tak disangka-sangka, mak 'pergi' terlalu cepat...kali terakhir kita berjumpa masa Nor (panggilan oleh mak) balik kampung bulan Jan (25/01/10-31/01/10)...dan kali terakhir kita berbual di telefon hari sabtu 06/03/10...tak ada apa-apa tanda yang aneh dan pelik tentang mak...mak ceria berbual dalam telefon...ceria sangat...kata mak cik-mak cik di sini...beberapa hari sebelum mak meninggal,mak cerdas betul...tak lemah dan suka sangat memasak...masak macam-macam...perbualan di telefon hari sabtu tu tentang makanan jugak...

MAK : esok mak nak masak nasi lemak...
AKU : ala, kenapa nak masak esok? tunggu la bila Nor balik nanti, emy keje lagi ni...
MAK : tak apa, nanti kamu balik mak masaklah lagi...
Aku : tak sabar nak balik raya tahun ni mak, sebab tahun ni turn kat Perak. Tapi tak best pulak sebab nanti Nor dah nak bersalin raya tu...
MAK : ala, tak balik pun tak apa. habiskan pantang dulu...
AKU : mak macam tak suka Nor balik jer...dah la Nor nak makan macam-macam ni,nak lemang dengan ayam masak merah yang mak selalu buat tu...
MAK : ye la...ye la... (sambil ketawa...)

09/03/10...aku happy sangat pagi tu sebab emy balik mengejut dekat pukul 1 pagi tu...memang seronok sangat...dapatlah aku balik kampung tengok mak...
14:30 petang...abah call...

ABAH : abah nak cakap ni, tapi kamu jangan terkejut pulak...
AKU : apa bah? ada benda best ke? (aku gelak-gelak sebab suara abah cool jer)
ABAH : mak kamu...pengsan...dia tengok tv,lepas tu tertidur...abah kejut tapi tak bangun...tapi abah check nadi macam dah tak ada...
AKU : ???? abah... (aku nangis...)
ABAH : jangan nangis...abah pun tak sure sangat...tunggu orang klinik datang check...nanti abah telefon lagi...

Aku dah tak tau nak kata apa...tp emy dah suruh aku kemas baju untuk balik kampung...aku kemas-kemas...aku tak puas hati...aku call abah lagi dekat pukul 3...aku call rumah tapi mak cik aku yang jawab...

AKU : abah mana?
MAK CIK : abah kamu pergi balai polis buat report...
AKU : balai polis? report apa pulak ni? mak mana?
MAK CIK : mak kamu dah tak ada...
AKU : ...............

aku terus balik kampung...
segalanya dah berlaku...apa yang aku tak nak percaya dah pun terjadi...

Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia

P/S : kepada mereka yang masih memiliki ibu...jagalah ibu selagi nyawa masih dikandung badan...berbaktilah sebaik mungkin untuk ibu kalian...kita hanya punya 1 ibu dalam dunia...tiada ganti dan tiada yang serupa dengannya...mengandungkan kita selama 9 bulan...menahan perit sewaktu melahirkan kita...membesarkan kita...tak ternilai dengan wang ringgit...luangkan seberapa banyak waktu yang mampu dengan ibu...dia bukan mahukan harta kita...dia menginginkan memori terindah yang dapat diluangkan bersama anak tercinta...AL-FATIHAH untuk mak...doa jangan putus,hanya doa anak yang dapat memberi ibumu ketenangan dan kebahagiaan di alam yang satu lagi...masa kita?entah bila...

Hadiah Hari Raya


Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tak lama lagi, saya rasa nak bagi hadiahlah kat korang. Nak tak? Nak tak? Saya nak buat contest hari raya. Saya dah pernah buat sebelum ni tapi di blogshop saya, so kali ni saya nak buat di blog personal pulak. Inilah dia hadiah yang ditawarkan. Saja saya blurkan gambar tu...hehe. Antara hadiah yang menarik ialah :

Embroidery Baby Bath Towel
- Khas dari blogshop saya, saya buat sendiri ni. Boleh tengok lagi di Intanz Handmade

Facial Treatment Mask
- Original dari SKII. Produk terbaik sebab saya pengguna SKII jadi saya nak bagi chance untuk pemenang merasa guna produk ni.

Macam mana? Menarik ke tak? Tertarik ke tak? Konsep contest ni senang aje, sama macam yang saya pernah buat dulu. Hanya perlu menghantarkan satu foto hari raya bersama keluarga yang anda rasakan paling meriah! Diulangi lagi sekali, foto hari raya bersama keluarga yang anda rasakan paling meriah. So, foto bf-gf memang saya akan tolak mentah-mentah ya. Reject! 

Salah satu sebab kenapa saya suka guna konsep foto ialah kerana di sini jugalah mampu membentuk keakraban dan kemesraan keluarga yang berpanjangan. Betapa hanya melalui satu gambar dapat mengungkap pelbagai cerita. Mampu menjadi kenangan yang cukup manis untuk dikenang. Saya teringat masa saya kecik-kecik, masa arwah mak masih ada, abah memang suka tangkap gambar kami sekeluarga. Tak kiralah masa raya ke, masa tengah main, tengah makan. Gambar-gambar tu memang banyak sangat. Sampai sekarang saya akan tetap tengok. Bila balik kampung, kami akan buka album dan tengok gambar tu balik. Apalagi, memang akan pakat gelak ramai-ramailah bila tengok sesetengah gambar yang lawak. Kenangan...kenangan...bak kata Aizat, 'biarkan kenangan berbunga di ranting usia...'

Okay, contest ni akan bermula pada hari raya pertama. InsyaAllah, nanti saya akan war-warkan sekali lagi di blog ni akan menerangkannya dengan lebih lanjut lagi. Jangan lupa join nanti tau!

Thursday, 25 July 2013

Ramadhan 15 : Sushi King? Biar Betul?!


Yakiniku Bento

Selingan...tetiba aje buat muka macam tu

Saya bukanlah peminat sushi. Memang susah nak terima dek tekak ni. Sebab dulu pernah cuba beli sushi yang kat jusco tu, yang jual siap dalam bekas-bekas tu kan. Nampak cam best aje saya pun belilah. Bila masuk aje dalam mulut, rasa nak terkeluar semua isi perut. Saya pun tak pasti kenapa. Atau mungkin sushi yang saya pilih tu tak sedap ke apa ke. Jadi, saya andaikan sushi bukanlah sesuatu yang dekat di hatiku dan tekakku. Cehhhh...wah

Entah macam mana, tetiba semalam hubby ajak berbuka puasa kat sushi king. Oh, itu bukan satu idea yang menarik tu. Mula-mula muka kelat jugaklah. Tapi, ikut ajelah. Sebab suami memang suka makan sushi.

Time nak order tu pun, saya memang blur tak tau nak makan apa. Hubby dah siap-siap dah ambik segala macam sushi yang duk berjalan macam ketapi tu. Saya dah belek berkali-kali, tak ada satu pun yang saya berkenan dan nak cuba rasa. Saya geleng-geleng aje bila hubby suruh pilih. Terus saya cakap kat hubby, 'ma nak nasi.' Haha! Memang saya dan nasi susah nak berpisah. Ish...macam mana nak duduk oversea ni.

Lepas belek-belek menu, saya decide nak ambik bento. Namanya yakiniku bento sebab nampak macam okay aje dan tak pelik sangat. Dalam hati, saya tak putus-putus berdoa semoga saya dapat menghabiskan makanan ni. Walaupun mungkin tak sedap, saya akan tolak-tolak masuk melepasi tekak. Amboi! Hehe. Risaulah nanti tak habis kan dah membazir.

Kesian pulak kat anak-anak, sebab diorang tak nak apa-apa. Agaknya sebab tangan masing-masing tengah sibuk nak mengusik sushi yang bergerak-gerak. Kalau boleh semua sushi yang lalu tepi diorang, semua nak ambik letak atas meja.

Suapan pertama yang masuk ke dalam mulut...emm...alhamdulillah, sedap. Daging tu rasanya macam sama dengan resepi saya aje. Dan dan aje kan. Haha. Tapi, okaylah. Not bad. Pastu hubby suruh test makanan dia pulak. Namanya saya tak sure tapi ada sliced raw fish, ada seaweed sikit, ginger, soy sauce kot dengan perahan lemon. Saya tak percaya yang saya telan benda alah tu. Sedap! Rasanya sejuk aje bila masuk dalam mulut dan pedas-pedas masam sikit.

Pengalaman yang sangat menarik! So, siapa-siapa yang memang kaki sushi king tu bolehlah suggest kat saya makanan yang sedap-sedap. InsyaAllah, akan datang lagi lain kali.

Sekian... (Pagi-pagi dah cerita pasal makan...hehe...okay selamat berpuasa!)

Tuesday, 23 July 2013

Tingkatkan Ibadah, Kurangkan Juadah


Selamat berpuasa kepada semua...

Bazar Ramadhan adalah suatu tempat yang penuh dengan godaan. Kalau pergi sana rasa nak beli semua makanan yang kita nampak. Makanan yang kita tak tau namanya pun kita tengok dah nampak sedap. Itu satu perkara biasa. Yang menjadi luar biasanya ialah membeli makanan lebih dari yang kita perlukan. Sebenarnya, kuantiti makanan yang kita perlukan untuk berbuka puasa adalah sama seperti yang biasa kita makan pada hari-hari biasa. Tidak ada pertambahan walaupun kita sedang berpuasa. Usah dibelai sangat nafsu makan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah,ayat 168,

" Hai manusia, makanlah barang yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu"

Arwah mak saya selalu kata, kalau pergi bazar tu sebenarnya kita ni lebih 'lapar mata' dari lapar perut. Semua nampak sedap. Itu memang fitrah manusia. Sebaiknya kita bersederhana, dan apa yang lebih penting ialah elakkan pembaziran. Usah cemarkan kemuliaan bulan Ramadhan ini yang lebih menuntut kita untuk memperbanyakkan ibadah dari melebih-lebihkan juadah sampai penuh semeja.

Tips membeli juadah di bazar Ramadhan.

Kuantiti 
Ini ialah perkara pertama sekali yang kita perlu siap sediakan awal-awal sebelum ke bazar. Berapa banyakkah keperluan makanan yang kita perlukan? Contoh, nak beli kuih. Nak beli berapa jenis? Berapa ketul? Sebaiknya jangan lebih dari 2 jenis. Kalau dah ada kurma di rumah, tak beli kuih pun tak apa. Nak beli lauk dan sayur pula sebaiknya beli satu jenis lauk dan satu jenis sayur sudah mencukupi. Nak beli ayam masak merah, belilah beberapa ketul sesuai dengan jumlah ahli keluarga di rumah. Seketul sorang pun cukuplah tu. Jangan makan banyak sangat nanti berat nak solat Tarawikh. Oh ya, tips ni khas untuk mereka yang memang tidak memasak di rumah ya.

Duit
Jangan bawa duit banyak-banyak. Bawa sekadar mencukupi sudahlah. Takut nanti bawa banyak sangat makin banyak pulak juadah yang nak diborong.

Apapun, tu hanyalah perkongsian dari saya saja. Nak lebih selamat, masaklah di rumah. Lebih berkat untuk keluarga kan.

Monday, 22 July 2013

Tanda Allah Masih Peduli


Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditinggalkan ibunya lebih lima jam di dalam kereta, maut dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di USJ4, petang kelmarin.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan terlupa anaknya itu di dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolah berkenaan jam 11 pagi.

Mangsa, Nawal Iris Samsudin, ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta ibunya sekitar jam 5.30 petang dipercayai kepanasan dan lemas.
Ibunya segera membawa anak bongsu daripada dua beradik itu ke klinik berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia.
Sebelum ke sekolah, Nor Zatusy Hazwa dikatakan menghantar adiknya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat itu kerana terlewat setengah jam.

Tak sedar anak tidur


Beliau tidak menyedari anaknya tidur di tempat duduk belakang keretanya.
Apabila kembali ke keretanya lima jam kemudian, Nor Zatusy Hazwa terkejut mendapati anaknya terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan kebiruan dan kaku.
Seorang kakitangan sekolah berkata kereta ibu mangsa ditutup rapat selain diletakkan di kawasan parkir tidak berbumbung dan cuaca panas terik.
“Selepas mesyuarat ibu mangsa dikatakan menghadiri kelas untuk mengajar dan terlupa anak yang ditinggalkan dalam keretanya.
“Mayat mangsa ditemui basah kuyup dan kebiruan,” katanya ketika ditemui BH.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa dipercayai mati lemas akibat terperangkap dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi ibunya.
“Siasatan mendapati, ibu mangsa, didapati tanpa sedar meninggalkan anaknya yang sedang tidur di dalam kereta.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur kecuaian dan dikelasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 selepas solat Jumaat dengan dihadiri dihadiri kita-kira 30 ahli keluarga dan sahabat ibu bapanya.
Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata keluarga mereka reda dengan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Sumber : Berita Harian

Berikutan kes kematian kanak-kanak di dalam kereta yang tidak disengajakan, saya rasa terpanggil untuk mengulas isu ini sebagai salah seorang yang juga bergelar ibu. Begitu banyak komen di laman Facebook yang berbunyi :

'Lebih baik tak payah ada anak kalau tak reti jaga'
'Cuai, anak pun boleh lupa.'
'Tak bertanggungjawab'
'Mak jenis apa ni...'

Apabila berlakunya satu-satu kejadian seumpama ini, begitu ramai yang berlumba-lumba menjadi hakim, seolah-olah kamu adalah saksi utama kejadian, kamu ada di situ dan mengalaminya...menjatuhkan hukuman terus menerus...seolah-olah kerana si ibu itulah penyebab utama kejadian itu terjadi...kalaulah ibu tu...kalaulah ibu tu...dan terus berkalau-kalau...

Sesungguhnya tidak ada satu ibu di dunia ini pun yang menginginkn kematian anak, apatah lagi merancang dan membayangkan anak yang kita kandung dan besarkan untuk menerima maut di dalam kereta yang berkunci. Ada ke? Ada ke ibu-ibu dalam dunia ni yang memang bercita-cita nakkan penyebab kematian anak adalah kerana mati dikunci di dalam kereta?

Hanya dengan membaca, membayang, spekulasi sana sini tidak cukup untuk kamu memahami situasi sebenar...itu semua tidak memberikan kamu hak untuk menghukum si ibu! Cukup-cukuplah...

Paling lama pun kita nak bercakap soal ni, mungkin seminggu dua. Lepas tu apa akan jadi? Kita akan menjalani kehidupan seperti biasa. Bagaimana dengan si ibu tadi? Pernah kamu bayangkan betapa dia akan diburu dengan sesalan? Tekanan dan hentaman psikologi yang mungkin akan terus mengganggu emosi dan perjalanan hidupnya...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...

Kita hanya mampu menduga, yang mengalami lebih memahami...

Semoga ibu itu terus tabah...
Al-fatihah untuk adik Nawal Iris Samsudin...

Thursday, 18 July 2013

Kelas Renang Mai Swim


 


Alhamdulillah, hajat nak menghantar anak-anak ke kelas berenang tercapai juga akhirnya. Terima kasih kepada suami sebab sudi bantu menguruskan pendaftaran anak-anak di sini. Anak-anak di daftarkan di Mai Swim. Kelas renang kanak-kanak ini semuanya dilakukan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, dekat dengan istana dan Kelab Darul Ehsan. Nak senang pergi, guna GPS. Hehe...

Mamanya pun daftar kelas juga tapi mula lepas rayalah. Bulan puasa ni tak ada kelas untuk dewasa. Bayaran dan jadual untuk kelas berenang bolehlah klik Mai Swim untuk maklumat lanjut ya. Setakat ni anak-anak baru dua kali pergi kelas, setiap hujung minggu. Kelas ada 8 kali. Masih takut-takut lagi. Si abang tu memang takut air sikit. Mamanya takut air banyak!

Bagi kelas renang kanak-kanak, mereka menerima pelajar seawal usia 4 tahun. Kalau nak ikutkan, anak saya yang perempuan tu belum genap 4 tahun, tapi disebabkan dia nak ikut abang dia, kami masukkan sekali.

Buat pengetahuan semua, untuk kelas renang wanita akan diajar oleh pengajar wanita dan begitulah sebaliknya. So tak ada masalahlah nak belajar kan. Cuma, kolam renang tu adalah kolam yang sama dengan pengguna awamlah. Tapi, sekarang ada banyak jual pakaian renang muslimah. Macam-macam jenama ada. Pilih saja yang mana nak. Tak salah kita keluar belanja sikit kan. Kita masih boleh menjaga aurat kita semasa berenang. Islam tu mudah tapi kita jangan ambil mudah ya!

Cuma, nak ingatkan sikitlah, pilih cutting yang bersesuaian untuk pakaian renang tu. Walaupun namanya muslimah swimsuit, tapi ada juga potongan yang tak berapa nak muslimah. Elakkan memilih pakaian renang yang 'membalut' aurat. Sebolehnya ambil saiz yang lebih besar dari saiz yang biasa kita pakai. Saya suka Arena muslimah swimsuit sebab potongan bajunya macam t-shirt muslimah yang biasa tu. Padankan saja dengan tudung. Design pun banyak yang cantik. 


Suami saya ada lesen diving dan kami memang selalu ikut pergi pulau. Timbulnya idea nak belajar berenang ni pun sebab rasa tak bestlah ikut pergi pulau dapat main pasir dengan air kat tepi aje. Kan lagi seronok kalau pandai berenang kan? kan? kan? Sunnah tu. Dalam masa  yang nak bagi anak-anak buat aktiviti outdoor sikit dengan kawan-kawan baru.

Jom kawan-kawan join sekali! Lagi ramai lagi meriah!

Wednesday, 17 July 2013

Usah Sia-siakan Kehadirannya...


Syukur alhamdulillah, kita berkesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan. Tetamu istimewa yang sering dinanti saban tahun. Bulan mulia penuh keberkatan. Inilah bulan di mana kita berlumba-lumba merebut peluang meraih pahala tanpa melepaskan walau sesaat dengan sia-sia. Apa khabar iman kita pada saat ni? Masihkan kita mampu bertahan?

Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Bukan hanya itu. Ramadhan menuntut lebih daripada itu. Apa yang kita isi dan kita persembahkan sepanjang bulan mulia ini? Inilah saat dan ketikanya untuk kita memperbaiki amalan kita. Usah jadikan keletihan dan kelaparan sebagai penghalang untuk merebut masa dengan ibadah. Kita sibuk di bulan-bulan yang lain. Jika Ramadhan juga kita sibuk, apalah maknanya kehidupan ini? Ramadhan tanpa solat dan Al-Quran, adalah mogok lapar untuk diri sendiri. Bukan untuk Allah.

Lapangkanlah harimu, muhasabah diri.

Jika sebelum ni tak pernah cukup solat 5 waktu, jadi cukupkanlah di bulan mulia ni. Solatlah di awal waktu. Berusahalah. Ikutlah bersama-sama mengerjakan Tarawih. Sebelum ni jarang-jarang baca Al-Quran, kali ni luangkanlah waktu untuk membacanya. Sebaris ayat satu hari pun tak mampukah kita? Mulakan dengan sedikit-sedikit. Ikutlah bertadarus. Tak tau nak baca? Belajarlah. Buangkanlah alasan tidak cukup masa dan sibuk tu. Kita kena mencari masa, kena mencipta ruang!

Jom ubah diri!

Friday, 5 July 2013

Ayuh, Rancang Kematian!


Kita selalu merancang perjalanan menuju ke satu destinasi dengan baik. Adakalanya perancangan dibuat beberapa bulan lebih awal sebelum tiba waktunya. Bercuti bersama keluarga misalnya, pasti segala kelengkapan dan keperluan diperiksa bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah. Bagasi dikemas, kenderaan diselenggara, dan pelbagai lagi. Namun, pernahkah terdetik di hati kita untuk merancang kematian? Iya, kematian!

Bagaimana nak merancang kematian sedangkan kita sendiri tak tahu bila kita akan mati. Beruntunglak mereka yang mampu mengetahui waktu sebenar kematian mereka. Tapi, mana mungkin kan. Rezeki itu misteri tetapi kematian itu pasti.

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati..." (Ali 'Imrân [3] : 185)

"Katakanlah 'sesungguhnya kematian yang kamu lari dari padanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu" (Al-Jumu'ah [62] : 8)

"Sesungguhnya hanya kepada Rabbmulah kembali(mu)." (Al-Alaq [96] : 8)

"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkanya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukanya." (Al-A'raf [5] : 34)

"Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Rabbmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya (Al-Insyiqâq [84] : 6)

"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang selalu kamu lari daripadanya." (Qâf [50] : 19)

"Lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya." (Yâsîn [36] : 50]

Sungguh kematian adalah perkara yang menakutkan di dunia dan di akhirat bagi orang-orang yang beriman. Kematian merupakan ketentuan yang sangat berharga untuk bertemu dengan-Nya.

Bagaimana nak merancang kematian? Maksudnya bukanlah kita merancang bagaimana keadaan kematian kita nanti atau lokasi kejadian kematian itu. Ianya lebih kepada persiapan diri kita untuk mengadap pencipta kita. Sepertimana kita dilahirkan sewaktu bayi penuh dengan kebersihan hati, suci dan tanpa noda, kita mahu pulang kepadaNya dengan keadaan yang bagaimana?

Jika kita masih belum tersedar lagi, inilah masanya. Inilah waktunya semasa kita masih lagi mampu menghela nafas. Belum tentu esok milik kita. Sekejap lagi pun belum tentu kita mampu berdiri tegak di bumi Allah. Kematian mampu menjemput pada bila-bila masa. Inilah waktunya untuk kita merancang kematian kita!

Penulis Hilal Asyraf di dalam karyanya Langit Ilahi menyebut, hidup ini tidak lebih hanyalah tempat untuk kita mengumpul bekal. Kematian pula sebenarnya hanyalah satu pintu yang mesti kita lalui, untuk menembusi alam lain bagi bertemu dengan Allah.

Ada satu kata-kata yang masyur :

"Orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya."

Ungkapan ini bermaksud, orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya supaya mati dalam kebaikan. Dia tidak akan membiarkan kehidupannya berjalan begitu sahaja tanpa dia berusaha untuk mengisinya dengan kebaikan.

Seorang pujangga berkata :

"Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, apabila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya."

Hidup ini sebentar, mati itu juga sebentar. Mati lebih sebentar daripada hidup. Tetapi kehidupan selepas mati itulah yang kita bicarakan di sebalik perkataan 'mati' itu. Sebab itulah mati itu dipandang berat. Kematian ada dua jenis :

  • Husnul khatimah (penamat yang baik)
  • Su'ul khatimah (penamat yang buruk)

Mati secara husnul khatimah, yakni suatu kematian dalam keadaan dia beriman kepada Allah, dengan kehidupannya yang dedikasi mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Mati secara su'ul khatimah pula, ialah mati dalam keadaan dia ingkar kepada Allah, dengan kehidupannya yang ingkar kepada perintah Allah, dan melakukan segala apa yang Allah larang.

Kita ni semakin hari usia semakin bertambah. Usia yang bertambah itu bukan lagi tiket untuk kita bersenang-senang di dunia yang sementara ni...

Bertambah usia dalam hitungan manusia, tapi berkurang dalam hitungan Allah azza wa jalla!

Lantas sudah siapkah nanti kita akan di minta pertanggungjawabkan atas apa yang kita pimpin. Suami terhadap anak dan istrinya dan keluarganya. Sudahkah membimbingnya dengan ajaran Islam yang kaffah.

Semoga kita bisa dikuatkan untuk membimbing keluarga kita selalu dekat dengan Allah, dan senantiasa lurus di jalannya, hingga ajal menjemput kita. Ya Allah jadikanlah sisa umur ku menjadi sisa umur yang barokah. Menjauhkan diriku dan keluargaku dari siksa api neraka.

Allah berfirman, “Hai orang - orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ( perintah ) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”, [Q.S. At-Tahrim/66: 6].

Dan apabila datang ajal kita, semoga kita dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah, dengan tidak membawa noda kesyirikan sedikit pun di hati kita. Sesungguhnya kematian adalah bukan akhir segalanya. Dua yang akan kau tuju setelah kematian yaitu surga dan neraka. Semoga kita semua membawa hati yang selamat menuju hari di mana kita akan menuai atas segala perbuatan di dunia. “(Yaitu) hari di mana tidak berguna lagi harta dan anak-anak kecuali mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (selamat dari kesyirikan dan kotoran-kotorannya).” [Q.S. Asy Syu’ara: 88,89] 


Bagaimana?

Kalau anda, anda mahu mati yang macam mana?

Hidup itu memang, mati itu pasti.