Assalamualaikum..semua♥


.....سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ.....


"YA ALLAH,,di hari yang penuh kemuliaan ini, Kau berikanlah rezeki yang melimpah-ruah & penuh keberkatan kepadaku dan suamiku, anak2ku,keluargaku&kel­uarga suamiku, Ya ALLAH,lindungilah kami Ya ALLAH & jauhkanlah kami dari perkara yang mendatangkan keburukan. Berkatilah kehidupan kami YA ALLAH.."...أَمِِيْن يَا رَبَّ العَالَمِينْ..(Selawat)

Followers

Sunday, 17 February 2013

Hentikan Melabel Orang Lain


Hidup di dunia jangan asyik nak perlekehkan orang, usah jadikan itu sebagai satu amalan. Kalau kita perlekehkan orang dengan alasan nak bagi dia kuat, bagi saya ada banyak lagi alternatif lain. Cuba kita periksa, dalam satu hari berapa kali kita perlekehkan orang? Berapa kali kita menyampah dengan orang? Berapa kali kita meluat dengan orang? Jika kiraan kita itu lebih banyak jumlahnya dari kita bercakap yang baik-baik pasal orang, maknanya kita sedang menumbuhkan bintik-bintik hitam di dalam hati kita.

Jangan meluat bila tengok si polan asyik dengan status mengeluhnya di FB. Hari-hari statusnya pasal mengeluh jaga anak, merungut malas masak, penat layan suami. Jangan menyampah bila orang tu asyik dengan fikiran negatif. Kita meluat, kita menyampah, kita sebenarnya secara tidak langsung sedang membiakkan sifat negatif di dalam diri kita.

Bukan semua orang sama jalan cerita hidupnya dengan kita. Sesetengah orang bertuah, mampu mengawal fikiran dan boleh menerima dengan baik setiap hikmah kejadian sama ada perkara itu menggembirakan atau sebaliknya. Manakala, sesetengah yang lain tidak sebertuah kita. Mereka tidak dikurnikan pendirian yang teguh, ahli keluarga yang menyokong. Kita perlu ingat, persekitaraan dan suasana dalam didikan keluarga juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk gaya pemikiran dan pendirian kita. Apabila seseorang anak kecil itu mudah memberontak dan marah, yang perlu kita lihat pertama sekali ialah didikan ibunya.

Saya pinjam kata-kata dari Mario Teguh iaitu seorang motivator dan konsultan asal Indonesia.

"Jangan paksa orang untuk berubah. Berubah itu sulit. Berkasih-sayanglah. Perubahan itu tidak mudah, terutama untuk memperbaiki kualitas hidup." - Mario Teguh.

Hadiah pertama bagi orang yang melakukan kebaikan adalah kebaikan. Jadi, apa salahnya kita ubah cara pendekatan kita. Wujudnya mereka yang bersifat seperti ini sebenarnya ada berkaitan dengan kita. Hidup di dunia ini juga jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Keluar dari zon selesa dan masuklah ke zon Allah. Hidup bermasyarakat dan peduli dengan masyarakat. Prof. Muhaya pernah menyebut, cara untuk mengetahui sama ada kita pentingkan diri sendiri atau tidak adalah dengan merenung kembali isi kandungan doa kita. Apakah doa kita selepas solat itu memfokuskan hanya tentang AMPUNKAN AKU, LINDUNGI AKU  atau mungkin lebih besar sedikit, AMPUNKAN KELUARGAKU, LINDUNGI KELUARGAKU. Bila doa kita hanya memfokuskan AKU, AKU, AKU, dari situ kita dapat menilai diri kita yang terlalu pentingkan diri. Jadi, selepas ini apa kata kita lebihkan sedikit waktu dan panjangkan doa kita untuk merangkumi saudara-saudara kita yang lain.

Kata Mario Teguh lagi, manusia terindah adalah manusia yang bermanfaat untuk saudaranya. Apa kata kita jadi rakan sokongan untuk mereka, tegur-menegur, saling memperingati sesama sendiri.
Kita hanya dekat dengan mereka yang kita sukai. Dan seringkali kita menghindari orang yang tidak tidak kita sukai, padahal dari dialah kita akan mengenal sudut pikiran yang baru. Inilah yang saya maksudkan tadi tentang saling berkait dan memerlukan. Tapi, jangan pula kita mengharapkan perubahan yang cepat dari mereka. Mereka sedang berusaha mengubah tabiat dan sifat yang sudah lama tumbuh di dalam diri mereka. Cuba tanya pada diri sendiri, kita ada tak tabiat yang susah nak tinggalkan? Aplikasikan dalam situasi ini untuk lebih memahami orang lain. Sila reset minda kita, kita bukan berseorangan di dalam dunia ini. Jangan guna ayat KUBUR MASING-MASING kerana boleh jadi mereka inilah yang akan membantu dalam pengurusan jenazah kita. Wallahu a'lam.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).

Thursday, 14 February 2013

Jom Tutup Aurat


Ini merupakan printscreen testimoni saya untuk jenama tudung pilihan saya iaitu Tudung NUR. Di sini mereka menyediakan pelbagai pilihan fabrik dan warna mengikut keselesaan dan kesukaan masing-masing. Namun, apa yang lebih penting ianya menepati garis panduan dalam menutup aurat. Selain itu ianya juga tidak jarang, tahan kedut, tahan lasak, mesra cucian mesin dan senang dibentuk. Antara tudung yang menjadi kegemaran saya ialah Tudung Helwa, Tudung Daisi dan Tudung Zuhairah. Sesuai dengan slogan mereka iaitu i-Nur: Dunia Tudung Bidang 60 Anda! Bagi yang berminat bolehlah melayari lawan web mereka, sila klik Tudung Nur

Saya sarankan kepada mereka yang mahu berubah kepada pemakaian tudung labuh boleh memilih Tudung NUR sebagai langkah permulaan. Usah ragu-ragu dengan keputusan yang bakal anda buat. Tetapkan hati, teguhkan iman dan hiraukan sindiran. Saya tau di luar sana ada ramai muslimah yang ingin berubah ke arah yang lebih baik terutamanya dalam bab berpakaian. Tetapi, keinginan mereka terbantut dan sering tersekat dek kerana pandangan orang sekeliling. Kita perlu positif dan setkan minda kita, yang mana lebih penting? Pandangan manusia ataupun pandangan Allah?
 

Cuba kita lihat dalam surah An-Nuur ayat 31, Allah s.w.t berfirman:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang(biasa) nampak daripadanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya..."

Bila kita lihat dalam ayat ini, jelas menunjukkan perempuan wajib melabuhkan tudungnya hingga ke paras dada. Namun, apa yang terjadi sekarang ini, ramai perempuan yang memakai tudung tetapi masih jarang, tidak menutup dada, dan terlalu pendek (mangsa fesyen). Fikir-fikirkanlah, anda bertudung kerana siapa, jika kerana ALLAH, maka ikutlah seperti yang telah ditetapkan dalam Islam, tak rugi apa-apapun, malahan diri kita terlindung dan terpelihara. Oleh itu, renung-renungkanlah.

Saya bukan menuding jari kepada siapa-siapa. Ini ialah peringatan untuk saya dan semua muslimah yang saya sayangi. Saya juga pernah melalui zaman remaja yang hampir hilang arah tujuan hidup. Alhamdulillah, Allah beri saya kesempatan untuk perbetuli jalan cerita hidup saya. Ini adalah tugas kita bersama untuk saling memperingati dan mematuhi suruhan Allah.

Wednesday, 13 February 2013

Tetamu Wanita Hari Ini TV3




Tarikh 13 Februari 2013, akan menjadi satu tarikh yang istimewa buat saya dan keluarga. Saya dan suami dipilih untuk menjadi tetamu jemputan bagi rancangan bual bicara Wanita Hari Ini di TV3. Tapi sayangnya suami tak dapat nak turut serta sebab pakaian tak menepati tema (dia sengaja nak mengelaklah tu kan? huhu).

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada penerbit rancangan Wanita Hari Ini iaitu Norazlina Nekmat kerana sudi memilih kami.  Layanan mereka kepada kami memang cukup mesra. Hilang sikitlah debaran di hati. Kalau tak percaya, cuba tengok muka saya masa berbual tu pun nampak takut-takut. Tajuk yang menjadi pilihan pada hari ini ialah "Bunting Pelamin...Sejauh Mana Pasangan Bersedia." Tajuknya agak sensitif, tapi bila dikupas dengan lebih mendalam ianya lebih terbuka.

Pengacara yang bertugas pada hari ini ialah Teh Syuhada dan Azzura. Turut menjadi tetamu jemputan juga ialah seorang doktor Pakar Sakit Puan yang tak asing lagi iaitu Dr. Ismail Tambi. Dan tak lupa juga kepada Norfadzila yang juga menjadi tetamu, dan kami sempatlah berkenalan. Rupanya kami sebaya!

Saya sebenarnya dah lama simpan niat, atau mungkin lebih kepada angan-angan nak berkongsi pengalaman dengan masyarakat di luar sana melalui media massa atau elektronik. Sungguh tak terjangkau di fikiran saya yang Allah akan mengabulkan impian saya ni. Pengalaman ini ialah anugerah untuk saya. Mematangkan fikiran dan menguatkan ikatan kami suami isteri.

Semoga perkongsian saya dan apa yang keluar dari mulut saya itu dapat memberi kebaikan dan motivasi kepada masyarakat di luar sana. Ini ada beberapa gambar yang dapat saya kongsikan. Tak sempat pun nak bergambar dengan pengacara sebab slot kami yang awal sekali. Jadi, bila selesai kami terus keluar.

Kepada sesiapa yang nak menonton siaran ulangan bolehlah klik di Tonton  dan memilih rancangan Wanita Hari Ini Episode 32, ataupun ke YouTube

Apa yang berlaku ini akan menjadi satu memori yang manis untuk dikenang.

Sunday, 10 February 2013

Ruang Untuk Bersyukur Sentiasa Ada


Alhamdulillah, 10 Feb datang lagi. Hari ini merupakan ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Syukur alhamdulillah, segala puji untukMu Ya Allah kerana masih mengizinkan kami bernafas, dan menikmati segala kebahagiaan ini.

Terima kasih buat suamiku untuk segala suka yang membahagiakan, untuk segala duka yang mendidikku menjadi lebih matang dan kuat. Untuk semua kesabaranmu sepanjang usia perkahwinan kita, hanya Allah yang mampu membalasnya. Semuanya cukup indah ditambah lagi dengan kehadiran tiga cahaya mata yang mudah-mudahan akan menjadi pencen akhirat kita kelak, mendoakan kita bila kita sudah tiada dan menjadi anak yang soleh dan solehah.

Suamiku, teruskanlah menjadi pemimpin kami ke syurga, usah jemu membimbing kami.

Ya Allah, kabulkanlah. Dan sampaikan selawat kepada junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w., kepada keluarga, para sahabatnya, dan juga sampaikanlah salam.

Wednesday, 6 February 2013

APA HEBATNYA SOLAT DI AWAL WAKTU?



Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Rasanya fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?
...
WAKTU SUBUH

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

WAKTU ZOHOR

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

WAKTU ASAR

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

WAKTU MAGRIB

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

WAKTU ISYAK

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

QIAMULLAIL

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya

Sumber : Facebook

Sunday, 3 February 2013

Redha


Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah SWT.

Membaca pengertiannya memang mudah, tapi adakah semudah itu untuk kita mempraktikkannya dalam urusan kehidupan kita? Ada banyak perkara yang menuntut keredhaan kita. Sama ada perkara itu nampak baik di mata kita, atau pun sebaliknya. Bukan semua yang kita mahu, yang kita inginkan, kita akan dapat. Kadangkala lain yang kita mahu, lain pula yang Allah berikan. Kita tak suka, tapi jangan sampai kita marah kepadaNya.

Firman Allah maksudnya :

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
                                                                                    (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Seringkali saya dengar dari corong-corong radio, rancangan television dan bacaan dari majalah mengenai masalah kaum wanita bersama suami. Lelaki yang mereka dambakan sebelum kahwin itu kini telah berubah. Sebelum kahwin, dia tampak begitu indah di mata kita. Letaklah si dia di antara lelaki-lelaki yang lebih kacak, segak dan bergaya. Semestinya si dia pilihan hati kita itu akan tetap menjadi idaman. Tapi, setelah lima tahun, sepuluh tahun atau lebih dari itu, si dia tidak lagi seperti yang dulu. Kenapa dia jadi macam tu?

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengatakan, kita ini wahai isteri sebenarnya berkahwin dengan tiga orang iaitu :
  • Diri dia yang kita sangka.
  • Diri dia yang sebenar.
  • Siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita.

    Wahai wanita sekalian, suka di sini saya ambil petikan kata-kata dari ustazah Nurhafizah Musa iaitu didiklah hati untuk sentiasa redha dengan suami, redha dengan jodoh yang sudah ditentukan oleh Allah SWT. Sungguhpun dia tidak baik di pandangan mata kita, tapi boleh jadi dia baik di sisi Allah SWT, kerana dengan sifatnya itulah dapat mendidik hati dan jiwa kita untuk terus bersabar dalam menerima ketentuanNya. Usah merungut dan terus bertanya, 'Kenapa aku kahwin dengan dia?' 'Kenapa jodoh aku dengan dia?' 'Kalau aku kahwin dengan orang lain, tentu tak jadi macam ni', kerana itu adalah simptom-simpton tidak redha dengan ketentuan Illahi. Ianya halus tapi ada dalam hati kita.

Semuanya bermula dengan hati. Sambung ustazah Nurhafizah Musa lagi, titik awal kepada kesihatan hati itu terbahagi kepada tiga iaitu :

Pertama - Cahaya tauhid kepada Allah SWT.
Soal akidah dan tauhid harus ditanam dengan sebegitu mantap dalam hati seseorang. Sebab ia akan ada implikasi dalam seluruh pekerjaan kita di atas muka bumi ini.

Kedua - Amanah.
Amanah dari Allah. Berkait dengan hukum-hakam Allah, perintah Allah, dan meninggalkan larangan Allah.

Ketiga - Zikrullah.Mengingati Allah. Pastikan sedaya-upaya dalam apa jua yang kita lakukan, kita duduk dalam kerangka zikrullah. Supaya tidak ada orang yang mengasingkan pekerjaannya dengan zikrullah.

Marilah kita menakluk hati kita, perbetulkan isi hati kita agar kita dapat menghadapi segala yang terjadi dalam kehidupan ini sebagai sesuatu yang baik untuk kita.