Assalamualaikum..semua♥


.....سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ.....


"YA ALLAH,,di hari yang penuh kemuliaan ini, Kau berikanlah rezeki yang melimpah-ruah & penuh keberkatan kepadaku dan suamiku, anak2ku,keluargaku&kel­uarga suamiku, Ya ALLAH,lindungilah kami Ya ALLAH & jauhkanlah kami dari perkara yang mendatangkan keburukan. Berkatilah kehidupan kami YA ALLAH.."...أَمِِيْن يَا رَبَّ العَالَمِينْ..(Selawat)

Followers

Thursday, 25 July 2013

Ramadhan 15 : Sushi King? Biar Betul?!


Yakiniku Bento

Selingan...tetiba aje buat muka macam tu

Saya bukanlah peminat sushi. Memang susah nak terima dek tekak ni. Sebab dulu pernah cuba beli sushi yang kat jusco tu, yang jual siap dalam bekas-bekas tu kan. Nampak cam best aje saya pun belilah. Bila masuk aje dalam mulut, rasa nak terkeluar semua isi perut. Saya pun tak pasti kenapa. Atau mungkin sushi yang saya pilih tu tak sedap ke apa ke. Jadi, saya andaikan sushi bukanlah sesuatu yang dekat di hatiku dan tekakku. Cehhhh...wah

Entah macam mana, tetiba semalam hubby ajak berbuka puasa kat sushi king. Oh, itu bukan satu idea yang menarik tu. Mula-mula muka kelat jugaklah. Tapi, ikut ajelah. Sebab suami memang suka makan sushi.

Time nak order tu pun, saya memang blur tak tau nak makan apa. Hubby dah siap-siap dah ambik segala macam sushi yang duk berjalan macam ketapi tu. Saya dah belek berkali-kali, tak ada satu pun yang saya berkenan dan nak cuba rasa. Saya geleng-geleng aje bila hubby suruh pilih. Terus saya cakap kat hubby, 'ma nak nasi.' Haha! Memang saya dan nasi susah nak berpisah. Ish...macam mana nak duduk oversea ni.

Lepas belek-belek menu, saya decide nak ambik bento. Namanya yakiniku bento sebab nampak macam okay aje dan tak pelik sangat. Dalam hati, saya tak putus-putus berdoa semoga saya dapat menghabiskan makanan ni. Walaupun mungkin tak sedap, saya akan tolak-tolak masuk melepasi tekak. Amboi! Hehe. Risaulah nanti tak habis kan dah membazir.

Kesian pulak kat anak-anak, sebab diorang tak nak apa-apa. Agaknya sebab tangan masing-masing tengah sibuk nak mengusik sushi yang bergerak-gerak. Kalau boleh semua sushi yang lalu tepi diorang, semua nak ambik letak atas meja.

Suapan pertama yang masuk ke dalam mulut...emm...alhamdulillah, sedap. Daging tu rasanya macam sama dengan resepi saya aje. Dan dan aje kan. Haha. Tapi, okaylah. Not bad. Pastu hubby suruh test makanan dia pulak. Namanya saya tak sure tapi ada sliced raw fish, ada seaweed sikit, ginger, soy sauce kot dengan perahan lemon. Saya tak percaya yang saya telan benda alah tu. Sedap! Rasanya sejuk aje bila masuk dalam mulut dan pedas-pedas masam sikit.

Pengalaman yang sangat menarik! So, siapa-siapa yang memang kaki sushi king tu bolehlah suggest kat saya makanan yang sedap-sedap. InsyaAllah, akan datang lagi lain kali.

Sekian... (Pagi-pagi dah cerita pasal makan...hehe...okay selamat berpuasa!)

Tuesday, 23 July 2013

Tingkatkan Ibadah, Kurangkan Juadah


Selamat berpuasa kepada semua...

Bazar Ramadhan adalah suatu tempat yang penuh dengan godaan. Kalau pergi sana rasa nak beli semua makanan yang kita nampak. Makanan yang kita tak tau namanya pun kita tengok dah nampak sedap. Itu satu perkara biasa. Yang menjadi luar biasanya ialah membeli makanan lebih dari yang kita perlukan. Sebenarnya, kuantiti makanan yang kita perlukan untuk berbuka puasa adalah sama seperti yang biasa kita makan pada hari-hari biasa. Tidak ada pertambahan walaupun kita sedang berpuasa. Usah dibelai sangat nafsu makan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah,ayat 168,

" Hai manusia, makanlah barang yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu"

Arwah mak saya selalu kata, kalau pergi bazar tu sebenarnya kita ni lebih 'lapar mata' dari lapar perut. Semua nampak sedap. Itu memang fitrah manusia. Sebaiknya kita bersederhana, dan apa yang lebih penting ialah elakkan pembaziran. Usah cemarkan kemuliaan bulan Ramadhan ini yang lebih menuntut kita untuk memperbanyakkan ibadah dari melebih-lebihkan juadah sampai penuh semeja.

Tips membeli juadah di bazar Ramadhan.

Kuantiti 
Ini ialah perkara pertama sekali yang kita perlu siap sediakan awal-awal sebelum ke bazar. Berapa banyakkah keperluan makanan yang kita perlukan? Contoh, nak beli kuih. Nak beli berapa jenis? Berapa ketul? Sebaiknya jangan lebih dari 2 jenis. Kalau dah ada kurma di rumah, tak beli kuih pun tak apa. Nak beli lauk dan sayur pula sebaiknya beli satu jenis lauk dan satu jenis sayur sudah mencukupi. Nak beli ayam masak merah, belilah beberapa ketul sesuai dengan jumlah ahli keluarga di rumah. Seketul sorang pun cukuplah tu. Jangan makan banyak sangat nanti berat nak solat Tarawikh. Oh ya, tips ni khas untuk mereka yang memang tidak memasak di rumah ya.

Duit
Jangan bawa duit banyak-banyak. Bawa sekadar mencukupi sudahlah. Takut nanti bawa banyak sangat makin banyak pulak juadah yang nak diborong.

Apapun, tu hanyalah perkongsian dari saya saja. Nak lebih selamat, masaklah di rumah. Lebih berkat untuk keluarga kan.

Monday, 22 July 2013

Tanda Allah Masih Peduli


Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang ditinggalkan ibunya lebih lima jam di dalam kereta, maut dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di USJ4, petang kelmarin.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dikatakan terlupa anaknya itu di dalam kereta ketika tergesa-gesa menghadiri mesyuarat di sekolah berkenaan jam 11 pagi.

Mangsa, Nawal Iris Samsudin, ditemui dalam keadaan kebiruan dalam kereta ibunya sekitar jam 5.30 petang dipercayai kepanasan dan lemas.
Ibunya segera membawa anak bongsu daripada dua beradik itu ke klinik berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia.
Sebelum ke sekolah, Nor Zatusy Hazwa dikatakan menghantar adiknya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat itu kerana terlewat setengah jam.

Tak sedar anak tidur


Beliau tidak menyedari anaknya tidur di tempat duduk belakang keretanya.
Apabila kembali ke keretanya lima jam kemudian, Nor Zatusy Hazwa terkejut mendapati anaknya terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan kebiruan dan kaku.
Seorang kakitangan sekolah berkata kereta ibu mangsa ditutup rapat selain diletakkan di kawasan parkir tidak berbumbung dan cuaca panas terik.
“Selepas mesyuarat ibu mangsa dikatakan menghadiri kelas untuk mengajar dan terlupa anak yang ditinggalkan dalam keretanya.
“Mayat mangsa ditemui basah kuyup dan kebiruan,” katanya ketika ditemui BH.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa dipercayai mati lemas akibat terperangkap dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi ibunya.
“Siasatan mendapati, ibu mangsa, didapati tanpa sedar meninggalkan anaknya yang sedang tidur di dalam kereta.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur kecuaian dan dikelasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 selepas solat Jumaat dengan dihadiri dihadiri kita-kira 30 ahli keluarga dan sahabat ibu bapanya.
Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata keluarga mereka reda dengan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Sumber : Berita Harian

Berikutan kes kematian kanak-kanak di dalam kereta yang tidak disengajakan, saya rasa terpanggil untuk mengulas isu ini sebagai salah seorang yang juga bergelar ibu. Begitu banyak komen di laman Facebook yang berbunyi :

'Lebih baik tak payah ada anak kalau tak reti jaga'
'Cuai, anak pun boleh lupa.'
'Tak bertanggungjawab'
'Mak jenis apa ni...'

Apabila berlakunya satu-satu kejadian seumpama ini, begitu ramai yang berlumba-lumba menjadi hakim, seolah-olah kamu adalah saksi utama kejadian, kamu ada di situ dan mengalaminya...menjatuhkan hukuman terus menerus...seolah-olah kerana si ibu itulah penyebab utama kejadian itu terjadi...kalaulah ibu tu...kalaulah ibu tu...dan terus berkalau-kalau...

Sesungguhnya tidak ada satu ibu di dunia ini pun yang menginginkn kematian anak, apatah lagi merancang dan membayangkan anak yang kita kandung dan besarkan untuk menerima maut di dalam kereta yang berkunci. Ada ke? Ada ke ibu-ibu dalam dunia ni yang memang bercita-cita nakkan penyebab kematian anak adalah kerana mati dikunci di dalam kereta?

Hanya dengan membaca, membayang, spekulasi sana sini tidak cukup untuk kamu memahami situasi sebenar...itu semua tidak memberikan kamu hak untuk menghukum si ibu! Cukup-cukuplah...

Paling lama pun kita nak bercakap soal ni, mungkin seminggu dua. Lepas tu apa akan jadi? Kita akan menjalani kehidupan seperti biasa. Bagaimana dengan si ibu tadi? Pernah kamu bayangkan betapa dia akan diburu dengan sesalan? Tekanan dan hentaman psikologi yang mungkin akan terus mengganggu emosi dan perjalanan hidupnya...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...

Kita hanya mampu menduga, yang mengalami lebih memahami...

Semoga ibu itu terus tabah...
Al-fatihah untuk adik Nawal Iris Samsudin...

Thursday, 18 July 2013

Kelas Renang Mai Swim


 


Alhamdulillah, hajat nak menghantar anak-anak ke kelas berenang tercapai juga akhirnya. Terima kasih kepada suami sebab sudi bantu menguruskan pendaftaran anak-anak di sini. Anak-anak di daftarkan di Mai Swim. Kelas renang kanak-kanak ini semuanya dilakukan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, dekat dengan istana dan Kelab Darul Ehsan. Nak senang pergi, guna GPS. Hehe...

Mamanya pun daftar kelas juga tapi mula lepas rayalah. Bulan puasa ni tak ada kelas untuk dewasa. Bayaran dan jadual untuk kelas berenang bolehlah klik Mai Swim untuk maklumat lanjut ya. Setakat ni anak-anak baru dua kali pergi kelas, setiap hujung minggu. Kelas ada 8 kali. Masih takut-takut lagi. Si abang tu memang takut air sikit. Mamanya takut air banyak!

Bagi kelas renang kanak-kanak, mereka menerima pelajar seawal usia 4 tahun. Kalau nak ikutkan, anak saya yang perempuan tu belum genap 4 tahun, tapi disebabkan dia nak ikut abang dia, kami masukkan sekali.

Buat pengetahuan semua, untuk kelas renang wanita akan diajar oleh pengajar wanita dan begitulah sebaliknya. So tak ada masalahlah nak belajar kan. Cuma, kolam renang tu adalah kolam yang sama dengan pengguna awamlah. Tapi, sekarang ada banyak jual pakaian renang muslimah. Macam-macam jenama ada. Pilih saja yang mana nak. Tak salah kita keluar belanja sikit kan. Kita masih boleh menjaga aurat kita semasa berenang. Islam tu mudah tapi kita jangan ambil mudah ya!

Cuma, nak ingatkan sikitlah, pilih cutting yang bersesuaian untuk pakaian renang tu. Walaupun namanya muslimah swimsuit, tapi ada juga potongan yang tak berapa nak muslimah. Elakkan memilih pakaian renang yang 'membalut' aurat. Sebolehnya ambil saiz yang lebih besar dari saiz yang biasa kita pakai. Saya suka Arena muslimah swimsuit sebab potongan bajunya macam t-shirt muslimah yang biasa tu. Padankan saja dengan tudung. Design pun banyak yang cantik. 


Suami saya ada lesen diving dan kami memang selalu ikut pergi pulau. Timbulnya idea nak belajar berenang ni pun sebab rasa tak bestlah ikut pergi pulau dapat main pasir dengan air kat tepi aje. Kan lagi seronok kalau pandai berenang kan? kan? kan? Sunnah tu. Dalam masa  yang nak bagi anak-anak buat aktiviti outdoor sikit dengan kawan-kawan baru.

Jom kawan-kawan join sekali! Lagi ramai lagi meriah!

Wednesday, 17 July 2013

Usah Sia-siakan Kehadirannya...


Syukur alhamdulillah, kita berkesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan. Tetamu istimewa yang sering dinanti saban tahun. Bulan mulia penuh keberkatan. Inilah bulan di mana kita berlumba-lumba merebut peluang meraih pahala tanpa melepaskan walau sesaat dengan sia-sia. Apa khabar iman kita pada saat ni? Masihkan kita mampu bertahan?

Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Bukan hanya itu. Ramadhan menuntut lebih daripada itu. Apa yang kita isi dan kita persembahkan sepanjang bulan mulia ini? Inilah saat dan ketikanya untuk kita memperbaiki amalan kita. Usah jadikan keletihan dan kelaparan sebagai penghalang untuk merebut masa dengan ibadah. Kita sibuk di bulan-bulan yang lain. Jika Ramadhan juga kita sibuk, apalah maknanya kehidupan ini? Ramadhan tanpa solat dan Al-Quran, adalah mogok lapar untuk diri sendiri. Bukan untuk Allah.

Lapangkanlah harimu, muhasabah diri.

Jika sebelum ni tak pernah cukup solat 5 waktu, jadi cukupkanlah di bulan mulia ni. Solatlah di awal waktu. Berusahalah. Ikutlah bersama-sama mengerjakan Tarawih. Sebelum ni jarang-jarang baca Al-Quran, kali ni luangkanlah waktu untuk membacanya. Sebaris ayat satu hari pun tak mampukah kita? Mulakan dengan sedikit-sedikit. Ikutlah bertadarus. Tak tau nak baca? Belajarlah. Buangkanlah alasan tidak cukup masa dan sibuk tu. Kita kena mencari masa, kena mencipta ruang!

Jom ubah diri!

Friday, 5 July 2013

Ayuh, Rancang Kematian!


Kita selalu merancang perjalanan menuju ke satu destinasi dengan baik. Adakalanya perancangan dibuat beberapa bulan lebih awal sebelum tiba waktunya. Bercuti bersama keluarga misalnya, pasti segala kelengkapan dan keperluan diperiksa bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah. Bagasi dikemas, kenderaan diselenggara, dan pelbagai lagi. Namun, pernahkah terdetik di hati kita untuk merancang kematian? Iya, kematian!

Bagaimana nak merancang kematian sedangkan kita sendiri tak tahu bila kita akan mati. Beruntunglak mereka yang mampu mengetahui waktu sebenar kematian mereka. Tapi, mana mungkin kan. Rezeki itu misteri tetapi kematian itu pasti.

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati..." (Ali 'Imrân [3] : 185)

"Katakanlah 'sesungguhnya kematian yang kamu lari dari padanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu" (Al-Jumu'ah [62] : 8)

"Sesungguhnya hanya kepada Rabbmulah kembali(mu)." (Al-Alaq [96] : 8)

"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkanya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukanya." (Al-A'raf [5] : 34)

"Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Rabbmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya (Al-Insyiqâq [84] : 6)

"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang selalu kamu lari daripadanya." (Qâf [50] : 19)

"Lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya." (Yâsîn [36] : 50]

Sungguh kematian adalah perkara yang menakutkan di dunia dan di akhirat bagi orang-orang yang beriman. Kematian merupakan ketentuan yang sangat berharga untuk bertemu dengan-Nya.

Bagaimana nak merancang kematian? Maksudnya bukanlah kita merancang bagaimana keadaan kematian kita nanti atau lokasi kejadian kematian itu. Ianya lebih kepada persiapan diri kita untuk mengadap pencipta kita. Sepertimana kita dilahirkan sewaktu bayi penuh dengan kebersihan hati, suci dan tanpa noda, kita mahu pulang kepadaNya dengan keadaan yang bagaimana?

Jika kita masih belum tersedar lagi, inilah masanya. Inilah waktunya semasa kita masih lagi mampu menghela nafas. Belum tentu esok milik kita. Sekejap lagi pun belum tentu kita mampu berdiri tegak di bumi Allah. Kematian mampu menjemput pada bila-bila masa. Inilah waktunya untuk kita merancang kematian kita!

Penulis Hilal Asyraf di dalam karyanya Langit Ilahi menyebut, hidup ini tidak lebih hanyalah tempat untuk kita mengumpul bekal. Kematian pula sebenarnya hanyalah satu pintu yang mesti kita lalui, untuk menembusi alam lain bagi bertemu dengan Allah.

Ada satu kata-kata yang masyur :

"Orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya."

Ungkapan ini bermaksud, orang yang bijak ialah orang yang merancang kematiannya supaya mati dalam kebaikan. Dia tidak akan membiarkan kehidupannya berjalan begitu sahaja tanpa dia berusaha untuk mengisinya dengan kebaikan.

Seorang pujangga berkata :

"Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, apabila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya."

Hidup ini sebentar, mati itu juga sebentar. Mati lebih sebentar daripada hidup. Tetapi kehidupan selepas mati itulah yang kita bicarakan di sebalik perkataan 'mati' itu. Sebab itulah mati itu dipandang berat. Kematian ada dua jenis :

  • Husnul khatimah (penamat yang baik)
  • Su'ul khatimah (penamat yang buruk)

Mati secara husnul khatimah, yakni suatu kematian dalam keadaan dia beriman kepada Allah, dengan kehidupannya yang dedikasi mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Mati secara su'ul khatimah pula, ialah mati dalam keadaan dia ingkar kepada Allah, dengan kehidupannya yang ingkar kepada perintah Allah, dan melakukan segala apa yang Allah larang.

Kita ni semakin hari usia semakin bertambah. Usia yang bertambah itu bukan lagi tiket untuk kita bersenang-senang di dunia yang sementara ni...

Bertambah usia dalam hitungan manusia, tapi berkurang dalam hitungan Allah azza wa jalla!

Lantas sudah siapkah nanti kita akan di minta pertanggungjawabkan atas apa yang kita pimpin. Suami terhadap anak dan istrinya dan keluarganya. Sudahkah membimbingnya dengan ajaran Islam yang kaffah.

Semoga kita bisa dikuatkan untuk membimbing keluarga kita selalu dekat dengan Allah, dan senantiasa lurus di jalannya, hingga ajal menjemput kita. Ya Allah jadikanlah sisa umur ku menjadi sisa umur yang barokah. Menjauhkan diriku dan keluargaku dari siksa api neraka.

Allah berfirman, “Hai orang - orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ( perintah ) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”, [Q.S. At-Tahrim/66: 6].

Dan apabila datang ajal kita, semoga kita dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah, dengan tidak membawa noda kesyirikan sedikit pun di hati kita. Sesungguhnya kematian adalah bukan akhir segalanya. Dua yang akan kau tuju setelah kematian yaitu surga dan neraka. Semoga kita semua membawa hati yang selamat menuju hari di mana kita akan menuai atas segala perbuatan di dunia. “(Yaitu) hari di mana tidak berguna lagi harta dan anak-anak kecuali mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (selamat dari kesyirikan dan kotoran-kotorannya).” [Q.S. Asy Syu’ara: 88,89] 


Bagaimana?

Kalau anda, anda mahu mati yang macam mana?

Hidup itu memang, mati itu pasti.

Monday, 17 June 2013

Seminar Fiqh Ibu Bapa Mithali


Assalamualaikum semua...
Alhamdulillah, pada 15 & 16 June yang lalu saya telah berjaya menghadirkan diri ke satu seminar yang cukup bermakna. Penuh dengan pengisian yang bermanfaat iaitu Seminar Ibu Bapa Mithali anjuran K-Fiqh. Setelah sekian lama berperang dengan diri yang asyik nak mengelak memberi alasan, bermalas-malasan, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke sana. Berada bersama-sama para ibu bapa hebat yang cintakan ilmu. Terus berusaha untuk memantapkan ilmu dalam mempersiapkan amanah Allah SWT.

Nekad dan tekad, saya ke sana memandu sendirian bersama dengan ketiga-tiga anak saya. Saya belum pernah ke Putrajaya sendirian. Berbekalkan tawakal dan usaha dengan sebuah gajet bernama GPS. Bertolak dari Kuala Selangor seawal 6.30 pagi kerana takut terlewat atau mungkin tersesat. Saya berserah diri sehabisnya kepada Allah SWT. Semoga Allah merestui dan meredhai pemergian saya untuk menimba ilmu.










Terima kasih kepada suami yang ketika ini berada di perantauan atas urusan kerja, kerana memberi keizinan kepada isterimu ini untuk menimba ilmu.

Pengisian yang sangat cemerlang dengan kehadiran panelis yang cukup mantap dengan pembentangan hasil kertas kerja mereka yang cukup baik. Tahniah untuk semua yang terlibat. Tahniah juga buat semua ibu bapa yang hadir, kerana anda berjaya membuat suatu perubahan demi anak-anak, amanah Allah.


Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan buat semua tenaga kerja yang terlibat di Child Care sepanjang seminar itu berlangsung. Terima kasih di atas kesabaran kalian dalam menjaga anak-anak saya. Saya berharap semoga selepas ini, kebanyakan seminar yang lain juga akan menyediakan perkhidmatan child care. Ramai ibu bapa di luar sana yang ingin menghadiri sesuatu seminar keibubapaan, tetapi selalu terbantut dek kerana hal penjagaan anak-anak yang masih kecil.

Akhir kata, syabas K-Fiqh!